Kejutan Hairul Azreen lamar Hanis Zalikha secara live di Gegar Vaganza | Pelakon Hairul Azreen membuat kejutan pada program Gegar Vaganza, malam Ahad apabila melamar kekasihnya Hanis Zalikha, 25, untuk menjadikan aktres itu sebagai isterinya.
Program itu diadakan di Dewan Sri Putra Bukit Jalil di sini dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria.
Hairul Azreen, 27, muncul di pentas Gegar Vaganza menyertai barisan penari lain membuat persembahan bersama kumpulan Kristal menerusi lagu Marry Me, nyanyian asal Bruno Mars.
Pada persembahan itu, Hairul telah membuat aksi breakdance sebelum pengacara program itu iaitu Nabil Ahmad dan Jehan Muse menjemput Hanis Zalikha naik ke pentas.
“Saya mahu awak jadi teman baik saya. Saya mahu awak jadi rakan kongsi perniagaan saya dan saya mahu awak jadi isteri saya yang sah.
“Sebelum datang ke sini (program Gegar Vaganza), saya telah berjumpa dengan mak ayah awak untuk memdapat restu mereka.
“Ini bukan cincin tunang, ini bukan cincin nikah. Ini adalah cincin tanda awak setuju dengan lamaran ini. Sudikan awak menjadi isteri saya?” lamar aktor itu.
Hanis Zalikha ketika itu tidak menjawab soalan Hairul Azreen sebaliknya terkedu dengan lamaran tersebut.
Selepas ditanya sekali lagi, Hanis mengangguk malu dan menjawab tanda setuju menerima lamaran Hairul Azreen untuk menjadi suri aktor itu.
“Ya, saya terima lamaran ini, InsyaAllah,” ujarnya.
Kejutan itu membuatkan penonton di dewan bersorak menandakan keterujaan mereka terhadap pasangan itu.
Sumber: Mstar
Blogger Comment
Facebook Comment