Kisah Benar Penggali Kubur Temui Mayat Berusia 30 Tahun Yang Masih Elok

Kisah Benar Penggali Kubur Temui Mayat Berusia 30 Tahun Yang Masih Elok | Kisah Benar Penggali Kubur Temui Mayat Berusia 30 Tahun Yang Masih Elok | KANGAR: Tiga penggali kubur tergamam menemui mayat dipercayai berusia lebih 30 tahun dalam keadaan elok dan sempurna, ketika menggali liang lahad untuk tujuan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Tok Paduka.

Mayat lelaki tidak dikenali itu ditemui jam 11.30 pagi sebaik ketiga-tiga penggali kubur berkenaan menggali liang lahad terbabit pada kedalaman 1.5 meter.

Berdasarkan maklumat kisah benar ini, mayat lelaki itu bukan saja masih elok dari segi fizikal, malah kain kafan jenazah juga masih sempurna, kecuali sedikit kotor akibat diselaputi lumpur.

Bagaimanapun, kayu keranda yang digunakan untuk melindungi mayat sudah reput dimamah usia.

Penggali kubur, Desa Sulaiman, 74, berkata penemuan jenazah itu mengejutkan kerana sepanjang pengetahuannya liang lahad yang digali itu memang kosong.

Katanya, keadaan jenazah itu tidak berbau dan masih sempurna dengan kulit serta isi yang terlekat pada tubuh jarang dilihat, apatah lagi dengan usia jenazah yang dipercayai mencecah puluhan tahun.

“Saya 30 tahun menggali kubur di sini, tetapi tidak pernah menemui kejadian sedemikian, walaupun pernah mendengar cerita mengenainya sebelum ini.

“Sepanjang pengetahuan saya, mayat yang masih elok dan sempurna walaupun berusia ratusan tahun kebiasaannya milik orang alim kerana jenazah mereka dilindungi Tuhan berikutan amalan baik yang dilakukan sepanjang hayat,” katanya.

Difahamkan, penemuan mayat itu menyebabkan urusan pengebumian jenazah seorang wanita berusia 53 tahun yang dijadualkan sebelum Zuhur, ditangguhkan beberapa jam untuk memberi laluan kepada urusan pengebumian semula jenazah yang ditemui itu.

Desa dan dua lagi rakannya terpaksa menguruskan pengebumian semula jenazah terbabit di sebelah liang lahad yang digali, sebelum meneruskan urusan penggalian liang lahad baru untuk pengebumian jenazah wanita yang baru meninggal itu.

Rakannya, Mohd Hafiz Abdan, 20, berkata beliau tergamam melihat wajah serta tubuh mayat yang masih elok seperti baru meninggal dunia ketika mengangkat mayat terbabit untuk dialihkan ke liang lahad baru.

“Saya sempat melihat keadaan susuk tubuh mayat berkenaan yang berkulit sawo matang, namun tidak berani menatapnya terlalu lama.

“Apa pun, penemuan mayat berkenaan bagi saya suatu misteri kerana jarang dilihat walaupun oleh penggali kubur,” katanya.

Share on Google Plus

About bradokapak

Komited menyajikan isu-isu semasa kepada anda semua. Kualiti adalah kepakaran kami.
    Blogger Comment
    Facebook Comment