Mangsa Bot Terbalik Di Kelantan Dilaporkan Selamat

Mangsa Bot Terbalik Di Kelantan Dilaporkan Selamat | Sepuluh mangsa banjir dan tiga anggota tentera yang bot mereka naiki terbalik di bandar lama Gua Musang tengah hari Selasa, berjaya menyelamatkan diri. 

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata kejadian itu berlaku akibat arus deras ketika anggota tentera berkenaan sedang mengangkut 10 mangsa banjir yang kesemuanya orang dewasa di kawasan Kesedar Inn ke pusat pemindahan. 

"Kejadian berlaku ketika pasukan penyelamat sedang cuba mengeluarkan mangsa yang terperangkap di Kesedar Inn tengah hari tadi. Kesemua yang terbabit dapat menyelamatkan diri dan berlindung di bangunan Istana Persinggahan Gua Musang berhampiran tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa. 

Saiful Bahri berkata arus deras di kawasan tersebut menyebabkan bot yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbalik. 

Beliau berkata 30 anggota termasuk polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dihantar ke lokasi kejadian untuk memindahkan mangsa terbabit dari bangunan Istana Persinggahan Gua Musang itu ke pusat pemindahan berdekatan. 

Bagaimanapun sehingga pukul 6 petang, kesemua anggota penyelamat itu terpaksa berpatah balik berikutan arus deras untuk mereka sampai ke bangunan berkenaan. 

"Keseluruhan tempat ditenggelami banjir dan menjadi seperti sebuah pulau. Bantuan udara amat diperlukan sekiranya usaha menyelamat menggunakan bot tidak berjaya," katanya. 

Beliau berkata kira-kira 200 hingga 300 lagi penduduk masih terperangkap di beberapa kampung termasuk Kampung Batu Papan di sini, perlu segera dipindahkan. -mstar 

Hosted on: kamithemedia.blogspot.com 
Share on Google Plus

About bradokapak

Komited menyajikan isu-isu semasa kepada anda semua. Kualiti adalah kepakaran kami.
    Blogger Comment
    Facebook Comment