"Dalam Sekelip Mata Saja Semuanya Hancur" | KUALA KRAI - Bagaikan dilanda tsunami, begitulah pengalaman ngeri penduduk di Kampung Manek Urai Lama, di sini dalam bencana banjir sejak 23 Disember lalu yang turut kehilangan harta benda dan tempat tinggal dalam sekelip mata.
Penduduk, Ruslaina Yusoff, 40, berkata air dari hulu sungai Lebir yang bertembung dengan sungai Manik Urai Lama, yang naik secara mendadak disebabkan hujan berterusan menyebabkan air terkepung di sekitar kampung.
“Melihatkan keadaan itu, saya terus menyelamatkan barangan dalam rumah dua tingkat dan meletakkan di bahagian siling rumah.
“Pada mulanya air hanya berada di paras paha kira-kira jam 5 petang namun naik mendadak sehingga ke paras dada dan melihat keadaan itu saya dan empat anak dan suami terus menyelamatkan diri menggunakan bot milik orang kampung,” katanya.
Ruslaina berkata, semenjak sembilan tahun tinggal di kawasan itu, banjir tidaklah pernah sampai ke tingkat atas rumah, namun kali ini amat luar biasa.
“Kejadian ini seolah-olah bencana tsunami kepada kami yang membawa lumpur dan memusnahkan rumah dan barangan dalam sekelip mata.
“Ketika kejadian saya tidak memikirkan lagi tentang keselamatan barangan namun nyawa keluarga lebih penting dan kami tekad tinggalkan rumah untuk berlindung di tempat lebih selamat,” katanya.
sumber : kamithemedia.blogspot.com
Blogger Comment
Facebook Comment