Ramai Tertipu Tabung Gaza | TINJAUAN Sinar Harian di laman sosial mendapati ramai yang berkongsi cerita mengenai aktiviti mencurigakan berhubung tabung Gaza.
Pengguna media sosial mula mempersoalkan kewujudan tabung derma yang dipercayai tidak berdaftar.
Satu blog menceritakan bagaimana seorang lelaki dikenali sebagai saudara K melihat sendiri perbuatan yang menimbulkan syak wasangka berkaitan tabung Gaza.
“Terdapat empat tabung diletakkan di luar surau (Menara Lembaga) Tabung Haji, Jalan Tun Razak. Empat tabung tersebut diletakkan secara berdekatan, anggaran jarak adalah sejauh 10-20 meter antara satu sama lain.
“(Tabung itu) seperti dijaga beberapa orang berpakaian kemeja-t hitam tertera (tulisan) Free Palestine berwarna putih, dan berseluar jean sedikit koyak. Beberapa minit selepas itu, dua tabung dibungkus dan tinggal dua tabung lagi,” menurut entri dalam bloglist-malaysia.blogspot.com itu.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Nadiah Mohd Sarifuddin menyifatkan rakyat Malaysia sangat bermurah hati dengan terus menderma tanpa keraguan.
“Mereka (peminta derma) buat kutipan derma di pasar malam, pasar raya, depan bank, dan di tepi kaki lima sambil memakai mafela. Tetapi, kesahihan derma (sama ada) akan disampaikan (kepada) rakyat Gaza memang tidak pasti,” katanya berkongsi pendapat.
Seorang lagi pengikut di laman sosial berkata, jika seseorang itu berniat baik ingin menyalurkan bantuan, mereka harus menggunakan medium dan cara yang betul.
“Hanya ALLAH yang tahu niat kita derma untuk Gaza tapi diselewengkan. Ada yang minta derma, masuk kedai dan katanya derma ikhlas tabung Gaza, tetapi apabila kita tanya dan tidak bagi derma, mereka akan buat muka tidak puas hati.
“Selepas itu, (terus) beredar. Rakyat Malaysia kalau pasal menderma memang murah hati, sebab itu ramai yang ambil kesempatan,” katanya.
Sumber - Sinar
Blogger Comment
Facebook Comment