Ketua Pembangkang Selangor Letak Jawatan | Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsudin Lias meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta hari ini susulan keengganan beliau menerima jawatan Pengerusi Kira-kira Wang Awam (PAC) Selangor.
Adun Sungai Burong itu berkata, tindakan Dun Selangor meminda peraturan tetap 68(1) yang mewajibkan Ketua Pembangkang menjadi Pengerusi PAC yang diluluskan 4 Disember lalu menyebabkan beliau terikat dan tiada pilihan.
“Jelas di sini, pindaan itu menjadikan saya sebagai pak turut dan boneka semata-mata.
“Ingin saya tegaskan, saya tidak akan sekali-kali melanggar prinsip integriti sebagai seorang wakil rakyat.
“Dalam hal ini, saya tiada pilihan melainkan mempertahankan prinsip-prinsip yang menjadi asas integriti saya atau menerima tawaran di mana kuasa hanya pada nama tetapi tangan terikat rapi dan terpaksa tunduk dengan tekanan apabila menjadi Pengerusi PAC kelak,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.
Beliau turut memulangkan kereta rasmi kerana pemberian itu didakwa sebagai umpan dan “political mileage” kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang menunjuk-nunjuk sedangkan pemberian tersebut diluluskan ketika pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sementara itu, pengganti bagi kekosongan jawatan Ketua Pembangkang Selangor itu akan diputuskan oleh Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar kemudian.
Sumber : Sinar
Blogger Comment
Facebook Comment